VENEZUELA 0 PERU 0

Venezuela bertahan dengan 10 pemain untuk merakamkan keputusan seri 0-0 dengan Peru dalam pertemuan Copa America di Porto Alegre, awal pagi tadi.


Kad merah Luis Mago pada minit ke-75 ekoran kekasaran kedua memberi harapan kepada Peru untuk meraih ketiga mata tetapi kedua-dua pasukan itu berdepan kebuntuan di depan gawang.

Peru yang dibimbing jurulatih kelahiran Argentina, Ricardo Gareca, dua kali meletakkan bola ke dalam gawang dalam separuh masa pertama tetapi jaringan itu dinafikan selepas Christofer Gonzales dan Jefferson Farfan didapati ofsaid.

Kedua-dua pasukan kini di depan Bolivia, yang tunduk 0-3 kepada Brazil dalam perlawanan pembukaan semalam, dengan kelebihan satu mata.

Peru hampir mencetuskan jaringan pembukaan berikutan kesilapan yang dilakukan pemain tengah, Gonzales, namun penilaian video bantuan pengadil (VAR) mengesan Renato Tapia di kedudukan ofsaid ketika mencabar penjaga gawang Venezuela, Wuilker Farinez.

Christian Cueva dan Salomon Rondon masing-masing gagal menyempurnakan peluang terhidang dalam tempoh 20 minit aksi pembukaan sambil tumbukan lemah Farinez memaksa Tomas Rincon untuk melakukan hadangan penting pada penghujung babak pertama.

Permainan terus sengit selepas rehat, namun ketumpulan di bahagian serangan gagal memisahkan Peru dan Venezuela sehinggalah detik Farfan menolak masuk hantaran silang Edison Flores, malangnya jaringan itu dibatalkan.

Biarpun selepas Mago diperintahkan keluar padang susulan layangan kad kuning kedua, namun Farinez sekali lagi memainkan peranan penting dengan menyelamatkan percubaan pemain gantian, Flores, dari jarak dekat.