Bintang Brazil, Neymar, berkata bahawa dia mahu bertemu Lionel Messi dan Argentina dalam final Copa America selepas sah mara ke penentuan kejuaraan itu hasil menewaskan Peru hari ini.

Neymar membantu jaringan Lucas Paqueta pada minit ke-35 untuk Brazil menewaskan naib juara edisi 2019, Peru, 1-0 di Rio de Janeiro.

Brazil akan menantikan pemenang di antara Argentina dan Colombia dalam satu lagi perlawanan separuh akhir esok sebelum mencongak perhitungan terakhir di Maracana dan Neymar berharap dapat merealisasikan pertemuan blokbuster dengan La Albiceleste.

Seteru Amerika Selatan, Brazil dan Argentina, tidak pernah bertemu dalam final Copa America sejak 2007, di mana Selecao menang 3-0 dalam pertemuan terakhir itu.

"Saya mahu Argentina, Saya harap dapat bertemu Argentina," kata Neymar -- bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona -- selepas perlawanan itu.

"Saya mempunyai rakan di sana, dan kemudian kemenangan akan menjadi milik Brazil (sambil ketawa)."