ARGENTINA 1 PARAGUAY 0

Argentina layak ke suku akhir Copa America selepas menamatkan kemarau kemenangan ke atas Paraguay dengan keputusan 1-0 hari ini.

Argentina tidak pernah menewaskan Paraguay dalam Copa America sejak 2015 -- rentetan empat perlawanan berturut-turut -- tetapi skuad La Albiceleste itu menamatkan rekon buruk berkenaan hasil jaringan tunggal Papu Gomez pada minit ke-10.

Gomez menjaringkan gol kemenangan itu selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Paraguay, Antony Silva, yang keluar terlalu awal dari kawasannya, untuk menjaringkan gol keenamnya di peringkat antarabangsa.

Lionel Messi pula menyamai rekod penampilan terbanyak bersama Argentina yang dahulunya hanya dipegang Javier Mascherano dengan 147 penampilan -- Messi juga merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan itu dengan 73 gol.

Perlawanan di Brasilia itu turut menyaksikan skuad bimbingan Lionel Scaloni berkenaan melebarkan rekod kemenangan mereka kepada 16 perlawanan berturut-turut sejak Copa America 2019 dan tujuh daripadanya tanpa dibolosi.

Seterusnya, Argentina akan melengkapkan saingan Kumpulan A dengan menentang Bolivia -- pasukan yang masih belum menang sepanjang edisi ini -- Selasa depan manakala Paraguay pula akan bertemu Uruguay pada hari yang sama.