Gara-gara lidah tajamnya, Antonio Conte kini di ambang pemecatannya selaku pengurus Tottenham Hotspur pada ketika pengerusi kelab, Daniel Levy, seakan-akan tidak dapat dibendung lagi amarahnya.

Conte sudah mengambil penerbangan pulang ke Itali sambil Levy dikatakan sedang menimbangkan dengan serius untuk membuat pemecatan susulan mulut lancang pengurus Spurs itu mengkritik keras pemain-pemainnya selepas seri 3-3 di Southampton pada Sabtu lalu.

Pengurus berbangsa Itali itu telah memberi cuti dua hari kepada barisan kejurulatihan dan pemain susulan keputusan amat menghampakan di St Mary’s itu apabila Spurs melepaskan pendahuluan 3-1 untuk dibolosi dua gol lewat bagi keputusan seri 3-3.

Media British melaporkan Conte menggunakan tempoh cuti itu untuk kembali kepada keluarganya di Turin di sebalik ia mungkin waktu paling tidak bertepatan untuk berbuat demikian kerana berisiko hilang jawatannya.

Conte menghamburkan kata-kata nistanya terhadap pemain dalam satu siri temu bual yang mendedahkan dia mempersoalkan keinginan dan sikap mereka.

Pengurus itu kemudian menjelaskan pada malam Sabtu lalu bahawa komen dan kritikannya semata-mata diarahkan kepada pemain-pemain dan bukannya lembaga pengarah kelab itu.

Apa pun alasannya, siri temu bual panasnya itu sekadar meningkatkan kebimbangan dalam kalangan hierarki kelab terhadap ketidakharmonian di antara skuad Spurs dan pengurus mereka itu.

Lantaran itu juga, Levy kini dikatakan sudah bersedia untuk menamatkan kontrak Conte sempena tempoh rehat antarabangsa ketika ini.

Malah, Conte yang memiliki kontrak sehingga musim panas depan, dijangka akan angkat kaki, tidak kiralah bagaimana Spurs berkesudahan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini yang berbaki 10 perlawanan.

Kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan masih kekal sebagai satu-satunya matlamat ketika ini.

Keengganan menjejaskan peluang mereka mengesahkan tempat dalam kelompok empat teratas, dikatakan menjadi alasan mengapa Levy melengahkan membuat pemecatan pengurusnya itu.

Gambaran itu, bagaimanapun, dikatakan sudah berubah dengan pantas.

Ia didorong oleh kebimbangan lembaga pengarah kelab itu bahawa kehadiran berterusan Conte hanya akan terus memburukkan lagi semangat yang sudah pun merudum dalam kalangan pemain.



Didorong oleh penyingkiran daripada UCL di tangan AC Milan dengan agregat 0-1 pada 9 Mac lalu, kata sumber-sumber, Spurs berasa komited untuk meneruskan khidmat Conte sehingga akhir musim ini.

Pengurus itu, bagaimanapun, merosakkan perancangan berkenaan gara-gara siri temu bual panasnya selepas terikat seri dengan Southampton itu yang memungkinkan apa saja.

Bekas pemain, Ryan Mason, yang menganggotai pasukan kejurulatihan Conte, diuar-uarkan sebagai calon untuk mengambil alih bagi tempoh singkat andainya Levy meneruskan cadangan pemecatannya.

Mason juga bukanlah tenaga asing kerana pernah mengendalikan pasukan itu secara sementara sebelum pemecatan Jose Mourinho daripada kerusi pengurus pada 2020.

Penggantian pengurus diramalkan boleh berlaku sepantas kembalinya pemain-pemain ke pusat latihan pasukan di Enfield pada pagi Selasa.

Ia juga seakan-akan tidak lagi diendahkan oleh Conte yang mahu berlalu pergi, sama ada lambat atau cepat.