Antonio Conte meninggalkan Inter Milan secara persetujuan bersama tidak sampai sebulan selepas membimbing pasukan itu bergelar juara Serie A, demikian disahkan kelab berkenaan.

Jurulatih berusia 51 tahun itu mengemudi Nerazzurri menjulang Scudetto pertama sejak 2010 hanya dalam musim keduanya bersama pasukan itu.

Conte, yang turut membawa Inter layak ke final Liga Europa dalam musim pertamanya di San Siro, sepatutnya mempunyai tempoh setahun lagi dalam kontraknya.

Bagaimanapun, dia dikatakan tidak bersependapat dengan pemilik kelab itu mengenai pemotongan gaji dan penjualan pemain dan kini disahkan akan meninggalkan jawatannya di pasukan itu.

Satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu berkata: "FC Internazionale Milano mengesahkan bahawa satu persetujuan telah dicapai bersama Antonio Conte untuk menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama.

"Kelab ini mahu berterima kasih kepada Antonio kerana usaha luar biasa yang telah dilakukannya, memastikan kejuaraan ke-19 Inter dalam liga divisyen utama.

"Antonio Conte akan sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini."

Status Conte sebagai ketua jurulatih menjadi persoalan sejak pengerusi kelab itu, Steven Zhang, mendedahkan mengenai masalah kewangan mereka.

Juara Itali itu dilaporkan memerlukan sekitar €100 juta (RM504.96 juta) melalui penjualan pemain sebelum musim depan dengan Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez antara yang dikaitkan untuk meninggalkan kelab itu.

Sepanjang di Inter, Conte merekodkan 52 kemenangan, 17 keputusan seri dan tujuh kekalahan daripada 76 perlawanan Serie A.