FULHAM 0 TOTTENHAM 1

Antonio Conte menyeru Tottenham agar menggunakan kemenangan mereka ke atas Fulham sebagai "titik permulaan untuk mencurahkan segala kudrat" dalam usaha mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL).


Harry Kane menyamai rekod jaringan sepanjang masa milik Jimmy Greaves untuk Spurs ketika barisan asuhan Conte itu memadam rentak kekalahan berturut-turut kepada Arsenal dan Manchester City menerusi kemenangan 1-0 di Fulham, awal pagi tadi.

Cara kekalahan kepada dua pencabar kejuaraan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) itu telah menimbulkan kegusaran di kem kelab London utara berkenaan.

Conte berkata pasukannya perlu meraih kemenangan ke atas Fulham bagi memastikan Spurs tiga mata di belakang kelompok empat kelab teratas, secara tidak langsung menjadi penanda aras bagi kebangkitan prestasi mereka yang lesu selepas kempen Piala Dunia di Qatar.

Dia memberitahu Sky Sports: "Saya mendapat jawapan yang baik daripada pemain saya. Kami memerlukan permainan yang mantap seperti musim lalu. Mereka mempunyai keinginan untuk bertarung dan serius.



"Kami pernah membuktikannya. Apabila kami bermain sebagai sebuah pasukan, sangat sukar untuk menentang kami.

"Saya gembira dengan tahap persembahan ini tetapi kami menempah dua kekalahan ketika menentang Arsenal dan City.





"Hari ini harus menjadi titik permulaan untuk kami memberikan segala-galanya. Kami mempunyai baki 17 perlawanan lagi; kami perlu melihat apa yang berlaku.

"Kami perlu cuba kekal dalam perlumbaan ke UCL, untuk mencuba dalam Piala FA dan melakukan perkara yang sama dalam EPL.

"Adalah penting untuk bercakap dan membandingkan situasi musim lalu.

"Kami perlu terus menjaringkan gol tetapi dengan melepaskan 21 gol dalam hanya 10 perlawanan adalah tidak positif.

"Atas sebab ini, saya mendapat jawapan dan respons yang baik daripada pemain saya."