Antonio Conte menepis kebimbangan mengenai Richarlison bakal terlepas saingan Piala Dunia bulan depan tetapi mengesahkan bahawa penyerang itu tidak akan diturunkan ketika Tottenham berkunjung ke laman Manchester United bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Khamis ini.

Richarlison mengalami kecederaan betis ketika Spurs menewaskan bekas kelabnya, Everton, 2-0 hujung minggu lalu sehingga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-52 dan kelihatan bertongkat selepas itu.

Ia menimbulkan kebimbangan jika penyerang itu tidak sempat cergas untuk mewakili Brazil dalam Piala Dunia Qatar 2022, bermula dengan aksi menentang Serbia pada 24 November ini.

Dalam satu temu bual selepas perlawanan itu, Richarlison kelihatan menitiskan air mata dan berkata kepada ESPN Brazil: "Agak sukar untuk bercakap mengenainya kerana ia satu impian saya yang hampir terlaksana."

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai potensi Richarlison terlepas saingan Piala Dunia, Conte tampil memberikan mesej penuh optimistik.

"Mengenai kecederaan Richarlison, dia sedang menjalani pemeriksaan dan kemudian, kita akan lihat seberapa lama dia perlukan untuk pulih," kata Conte kepada wartawan.

"Saya boleh sahkan bahawa pemain itu tidak berisiko untuk tidak bermain dalam Piala Dunia, itu sudah pasti," katanya.