Pep Guardiola tidak percaya parut kekecewaan lalu dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) akan menjadi satu isu buat Manchester City selepas pasukan itu mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

Gol gemilang daripada Ilkay Gundogan dan Kevin De Bruyne dalam babak pertama memberikan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kemenangan 2-0 ke atas Borussia Monchengladbach di Budapest awal pagi tadi untuk menamatkan pusingan 16 itu dengan kemenangan 4-0 secara agregat.

Ia bermakna City akan kembali ke peringkat suku akhir di mana mereka terkandas sepanjang tiga musim lalu tetapi Guardiola berasakan kekalahan kepada Liverpool, Tottenham dan Lyon sebelum ini tidak akan berada dalam minda pemainnya.

"Dalam musim-musimter dahulu, saya tidak dapat melihat bahawa kami pasukan yang tidak mahu melangkah jauh. Kami sentiasa mahu melepasinya," katanya kepada BT Sport.

"Terdapat lapan pasukan terbaik di Eropah dan kualitinya semakin tinggi setiap kali dan ia akan menjadi lebih sukar.

"Harap-harap pasukan saya dapat mengekalkan suasana ini dan kami dapat bersaing dan dapat memberikan permainan yang baik.

"Apabila anda melepasinya, saya sentiasa percaya ia kerana anda layak untuk mendapatkannya. Anda perlu bermain dengan baik.

"Apa yang berlaku pada waktu lalu biarkan berlalu. Dalam suku akhir, satu permainan yang buruk, satu waktu yang buruk, satu minit yang buruk akan menghukum anda," katanya.