MANCHESTER CITY 3 ARSENAL 1

Manchester City terus mengukuhkan penguasaan di takhta liga selepas menundukkan Arsenal 3-1 dalam aksi di Stadium Etihad, tengah malam tadi.

Beraksi di laman sendiri, City yang telah menjaringkan 35 gol selepas 10 perlawanan, tampil mempertaruhkan gandingan Raheem Sterling, Sergio Aguero dan Leroy Sane di barisan depan untuk merobek gawang pelawat.

Sebaliknya, Kevin De Bruyne yang terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-19.

Percubaan awal pemain tengah Belgium itu diselamatkan oleh Petr Cech, namun De Bruyne pantas kembali mendapatkan bola dan melakukan hantaran satu dua bersama Fernandinho sebelum melepaskan rembatan dari jarak 20 ela untuk meletakkan City mendahului 1-0.

Sebelum perlawanan menuju rehat, Aaron Ramsey hampir menyamakan kedudukan buat The Gunners selepas Alexis Sanchez bijak melepasi kawalan John Stones untuk membuka ruang buat pemain tengah Wales itu.

Bagaimanapun, percubaan Ramsey sempat diselamatkan oleh penjaga gol City, Ederson.

Sebaliknya, tuan rumah yang menambah gol kedua ketika babak kedua berusia lima minit apabila Sterling dijatuhkan oleh Nacho Monreal di dalam kotak penalti dan Aguero tidak melakukan kesilapan untuk menyempurnakan sepakan tersebut bagi melebarkan kedudukan kepada 2-0.

Sepuluh minit kemudian, pemain gantian, Alexandre Lacazette, merapatkan jurang buat Arsenal menerusi rembatan deras yang menewaskan Ederson selepas menerima hantaran Ramsey untuk memberikan pelawat harapan.

Gabriel Jesus yang masuk menggantikan Aguero kembali melebarkan kedudukan buat City pada minit ke-75, apabila menyempurnakan hantaran David Silva untuk menjaringkan gol ketiga walaupun ia mencetuskan kontroversi selepas Silva dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid sebelum itu.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat, menyaksikan City mengekalkan rekod bersih apabila mencatat 10 kemenangan dan satu seri, serta selesa di puncak liga dengan 31 mata.