Raheem Sterling mendedahkan bahawa Manchester City mengadakan perbincangan dalam kalangan mereka sebelum kembali menemui rentak kemenangan ke atas Southampton malam tadi.

Penyerang England itu muncul penjaring tunggal di St. Mary untuk City mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Southampton, sekali gus kembali menjadikan skuad kendalian Pep Guardiola itu sebagai pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Pada ketika Liverpool menewaskan Crystal Palace 7-0 dalam satu lagi perlawanan, kemenangan tipis itu sudah cukup bagus buat City, yang terikat seri dengan Manchester United dan West Brom dalam dua perlawanan terdahulu.

Buat Sterling, yang mengakui prestasinya turut berada di bawah tahap sebenar, kemenangan itu sudah cukup memuaskannya.

Dia berkata kepada Amazon Time Sport: "Untuk menang dan menjaringkan gol sudah menjadi amat-amat sukar buat kami tetapi kami tahu apa yang penting hari ini dan kami gembira kerana mendapatkan tiga mata.

"Saya cuma berasakan yang kami telah berbincang sesama kami. Kami perlu menggali dalam untuk menemui sesuatu di antaranya kerana kelab bola sepak ini tidak seperti yang sepatutnya. Kami pasukan terbaik dan perlu bersaing dalam setiap perlawanan.

"Satu-satunya perkara yang membuatkan kami kecewa dalam beberapa minggu lalu adalah tahap agresif kami.

"Kebiasaannya, kami adalah pasukan yang amat agresif di bahagian depan, tidak kira sama ada ketika memberikan tekanan atau tanpa bola. Saya fikir kami beraksi di tahap terbaik ketika menyerang," katanya.

Ia bukanlah seperti aksi kebiasaan City tetapi mereka kelihatan berbahaya di segenap posisi dan berharap dapat menjaringkan gol dengan lebih lancar dalam perlawanan akan datang.

Sterling telah beraksi selama 1000 minit dalam EPL musim ini tetapi hanya menjaringkan empat gol

Peratusan penyudahan percubaannya hanya 16 peratus dan ia jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan penyerang utama lain seperti Son Heung-min, yang merekodkan 47.83 peratus keberkesanan bersama Tottenham.

Sterling berkongsi tempat pertama bersama Riyad Mahrez dalam senarai penjaring liga terbanyak City musim ini dan berharap akan menjaringkan lebih banyak gol selepas ini.

"Ia sukan berpasukan. Sudah pasti anda perlu melhat diri sendiri sebagai seorang individu dan saya secara tekal melakukannya.

"Saya sedar bahawa saya belum berada di tahap yang sepatutnya tetapi ia sedang diusahakan dan pasukan ini telah mengambil langkah yang betul.

"Pada akhirnya, ia tidak dijangka dan bukan setiap tahun anda dapat beraksi di tahap terbaik. Adakalanya anda pelu menggali dalam dan itulah yang menjadikan anda seorang pemain," katanya lagi.