Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menyifatkan pertemuan menentang Sri Lanka malam ini sebagai sebagai pelantar terbaik buat anak buahnya meraih keyakinan dan menjadi perlawanan pemanas badan untuk menghadapi Vietnam dalam aksi ketiga pusingan kedua kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Khamis ini.

Skuad negara berdepan situasi mirip persediaan awal dalam pusingan kedua kelayakan itu ketika menghadapi Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan lalu.

Ia susulan mereka hanya berkesempatan diuji dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa, iaitu bertemu Jordan sebelum mengharungi ujian sebenar.

Dalam masa sama, aksi dengan Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil, itu pula menjadi medan buat pemain dalam memperkemaskan aksi masing-masing sebelum ke Hanoi.

Perkara itu diakui pengendali dari Kedah itu yang menuntut anak buahnya agar terus komited untuk meraih keputusan positif.

"Bukan mudah untuk mendapatkan perlawanan persahabatan di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekurang-kurangnya kami dapat mengadakan perlawanan pemanas badan dengan Sri Lanka.

"Saya lega kerana pemain-pemain sudah mendapat momentum terbaik sejak tiga perlawanan lalu.

"Yang penting, pemain-pemain mempunyai keyakinan untuk bertemu Vietnam," katanya dalam sesi latihan ringan di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, pagi tadi.