Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, memuji semangat dan kekuatan mental yang dipamerkan anak buahnya apabila seri tanpa jaringan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

“Kami sedar tentang keupayaan PDRM untuk mencipta kejutan di gelanggang sendiri. Tahniah kepada pemain Kedah yang berjaya menyerap segala asakan tuan rumah dan juga berjaya mencipta peluang untuk menambah jaringan.

“Dari mula lagi, saya tekankan aspek kekuatan mental kerana pemain perlu fokus dan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan mudah yang boleh menjejaskan harapan pasukan ke final Piala Malaysia,” katanya.

Cheng Hoe juga menyifatkan skuad Helang Merah turun dengan impian untuk mencipta kemenangan dan bukannya sekadar mempertahankan kemenangan 2-1 yang dimenangi dalam separuh akhir pertama di Stadium Darulaman.

“Statistik perlawanan membuktikan kami hadir untuk mencipta kemenangan dan bukannya sekadar untuk kekalkan keputusan 2-1.

"Penyerang import, Liridon Krasniqi, Shane Edward dan Thiago Augusto sentiasa berusaha untuk memecahkan benteng pertahanan The Cops.

“Peluang terbaik kami tentulah pada minit ke-31 apabila dua kali rembatan kencang terkena palang gol PDRM. Pujian juga harus di beri kepada penjaga gol lawan, Hamdan Sairi, yang banyak menggagalkan percubaan pemain Kedah,” katanya.

Dalam perlawanan sengit malam tadi, pemain tengah kebangsaan, Baddrol Bakhtiar, memakai lilitan kapten pasukan (gantikan Khairul Helmi Johari yang cedera) dan sentiasa menggerakkan jentera serangan Kedah untuk mencari gol pembukaan.

Kedah bermula garang dan hampir mencemaskan pertahanan The Cops apabila penyerang utamanya, Tiago Augusto dijatuhkan dalam kotak penalti malangnya rayuan pemain Helang Merah untuk mendapatkan sepakan penalti ditolak pengadil perlawanan pada minit kedua.

Sepakan percuma yang diambil Baddrol berjaya ditepis keluar penjaga gol muda tuan rumah, Hamdan Sairi, pada minit ke-24.

Skuad bimbingan Mohd Fauzi Pilus juga hampir menjaringkan gol pendahuluan melalui kapten pasukan, Mohd Safwan Baharuddin, pada minit ke-72 melalui sepakan kencang yang hampir menewaskan penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal.

Tambahan masa tiga minit gagal digunakan PDRM untuk menjaringkan gol kemenangan, membolehkan skuad Helang Merah mara ke final untuk sekali lagi bertemu dengan juara bertahan, Selangor, di Stadium Shah Alam, 30 Oktober ini.