Tan Cheng Hoe menyimpulkan kekangan untuk melakukan persiapan sebagai kegagalan skuad negara dalam Piala AFF 2020 dalam laporan penuh yang akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan Persatuan Bolasepak (FAM) sebelum dipanjangkan ke jawatankuasa exco bulan depan.

"Ia sebahagian daripada perancangan FAM dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) akan memberi laluan kepada pasukan kebangsaan sekiranya ada jadual FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

"Kami tidak boleh ambil masa yang lama untuk mengadakan perlawanan persahabatan dan perlu mengumpul pemain sebagai langkah persiapan.

"Enam bulan akan berlalu dengan cepat dan kami perlu menyediakan pasukan terbaik untuk menghadapi kelayakan Piala Asia kelak," katanya.





Skuad negara melewati persediaan yang mengelirukan sejak September lalu lagi apabila slot kalendar perlawanan antarabangsa dipandang sepi dengan alasan saingan tempatan perlu diberikan keutamaan.

Selang sebulan, aksi persahabatan yang ditunggu-tunggu akhirnya terlaksana menerusi aksi persahabatan tier 1 menentang Jordan dan Uzbekistan.

Tetapi barisan yang dibawa bukanlah barisan utama, sebaliknya langkah itu sekadar menilai pemain yang mampu diserap ke barisan kedua untuk mengisi slot pemain utama yang telah berada dalam perancangan yang lebih awal.

Episod seterusnya dianggap sebagai kemuncak drama persiapan ala kadar Harimau Malaya untuk menghadapi Piala AFF 2020.

Beberapa nama yang sepatutnya berada dalam senarai pemain utama juga tercicir selain seramai 24 pemain sahaja dibawa walaupun 30 pemain boleh didaftarkan.

Kempen kegagalan Malaysia di Singapura berterusan hingga ternoktah di peringkat Kumpulan B dengan kekalahan 1-4 di tangan Indonesia, Ahad lalu.