Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, gembira untuk menyaksikan perkembangan ketara penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, selepas pemain kelab Belgium itu memulakan kem latihan pusat pertama bersama skuad senior kebangsaan di Johor Bahru semalam.

Tambahnya, perubahan positif itu bukan sahaja dapat dilihat daripada segi fizikal, bahkan
pemain berusia 19 tahun itu turut berkembang daripada pelbagai aspek lain, termasuk teknikal.

Cheng Hoe berkata dalam sidang media: "Daripada segi fizikal dan kekuatan, memang nampak peningkatan yang sebegitu mendadak.

"Daripada segi teknik dan hantaran, dia berada di tahap yang cukup baik sebagai penyerang kebangsaan bagi masa depan.

"Kami berharap dalam sembilan hari ini, Luqman dapat bekerja sama sebagai satu pasukan kerana setiap pemain apabila datang ke skuad kebangsaan, mereka tahu tugas mereka," katanya.