Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, menganggap pengendali KL City FC, Bojan Hodak, melakukan perang psikologi menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

Enggan mengambil serius pandangan Bojan terhadap pasukannya menjelang aksi derbi Lembah Klang esok, Cheng Hoe mahu anak buahnya kekal fokus untuk kembali bangkit mencatatkan kemenangan.


Hodak sebelum ini menyifatkan perlawanan menentang Selangor paling mudah dengan menegaskan anak buahnya tidak memerlukan motivasi tambahan untuk mengalahkan Red Giants.

Sinis atau gurauan daripada pengendali dari Croatia itu, Selangor kini ibarat harimau luka setelah dibelasah Johor Darul Ta'zim (JDT) 4-0 dalam perlawanan kelima Liga Super.

"Ia adalah perlawanan penting dan kemenangan amat penting buat kedua-dua pasukan. Apa yang dikatakan oleh Hodak boleh dianggap sebagai perang psikologi dan kami mengetahui dia memiliki strategi tersendiri untuk menghadapi perlawanan ini," kata Cheng Hoe.

"Sememangnya Selangor mahu menghadirkan permainan yang lebih baik dan memerlukan keputusan positif dalam perlawanan ini.

"Kami perlu melupakan perlawanan bertemu JDT. Ia perlu diambil sebagai pengajaran dan kami perlu berusaha ketika bertemu KL City, Selangor perlu mengelak daripada kesilapan terdahulu."