Chelsea selesai menandatangani pemain tengah Atletico Madrid, Saul Niguez, secara pinjaman bagi musim ini.

Pasukan juara Eropah itu berhasil mendapatkan Saul pada hari terakhir jendela perpindahan dan dilaporkan memegang pilihan untuk membeli pemain itu secara tetap dengan tanda harga £30 juta (RM171.27 juta) selepas membayar yuran pinjaman awal sebanyak £5 juta (RM28.54 juta).

Saul sebelum ini dikaitkan untuk menyertai Manchester United atau Liverpool tetapi kini akan menimba pengalaman pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea.

Pemain berusia 26 tahun itu merupakan sebahagian daripada skuad Atletico yang memenangi LaLiga musim lalu tetapi ketua jurulatih pasukan itu, Diego Simeone, enggan menafikan prospek untuk pemain itu meninggalkan pasukannya selepas terikat 2-2 dengan Villarreal hujung minggu lalu.

Saul masih mempunyai kontrak bersama juara Sepanyol itu sehingga 2026 tetapi ia berkemungkinan besar sudahpun menjadi perlawanan terakhirnya bersama kelab itu.

"Saya amat teruja untuk memulakan cabaran baru bersama Chelsea. Penyokong The Blues, saya sebahagian daripada anda sekarang dan saya tidak sabar untuk menyarung jersi pasukan ini, mula berlatih dan berjumpa anda semua. Jumpa anda tidak lama lagi!" kata Saul.