CELTA VIGO 1 REAL MADRID 2

Thibaut Courtois menjangkakan bekas majikannya, Chelsea, akan bertindak balas apabila bertemu Real Madrid dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), Khamis ini.


The Blues tumpas mengejut 1-4 kepada Brentford dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat sendiri, awal pagi tadi sementara dalam LaLiga, Madrid melakar kemenangan 2-1 di Celta Vigo.

Courtois pernah membuat 154 penampilan bersama Chelsea sebelum berkelana ke Santiago Bernabeu pada 2018.

Selepas kemenangan tipis awal pagi tadi itu, Courtois memberitahu wartawan: "Kemenangan hari ini adalah penting.

"Chelsea tewas di tempat sendiri dan mereka akan menjadi sangat garang Rabu ini (awal pagi Khamis). Kami kadang-kadang kurang ketekalan dan Chelsea cekap dalam mengeksploitasi kelemahan itu."

Los Blancos beruntung selepas dihadiahkan tiga sepakan penalti oleh pengadil, Pablo Gonzalez Fuertes.

Ia adalah kali pertama Madrid dihadiahkan tiga sepakan penalti dalam sebuah perlawanan LaLiga sejak Opta mula merekod data sedemikian pada 2003-04.

Karim Benzema menyempurnakan dua daripadanya sementara satu lagi diselamatkan, tetapi ia sudah cukup untuk Madrid melebarkan pendahuluan mereka di puncak kepada 12 mata dan Courtois yang menepis keluar sepakan percuma Iago Aspas dalam babak pertama mengakui betapa sukarnya pertemuan ini.






"Kami menderita di sini, semua perlawanan yang pernah saya harungi di sini sangat sukar," katanya.

“Saya tidak pasti adakah kami layak untuk menang kerana dalam separuh masa pertama saya menyelamatkan dua percubaan.

"Tentang tiga sepak penalti itu, tiada apa lagi yang perlu ditambah. Yang pertama dan yang kedua, ya (memang berhak). Mungkin yang ketiga lebih sukar untuk saya tentukan tetapi jika anda menjulurkan kaki (maka kekasaran boleh berlaku) Hari ini, kami diberikan tiga sepakan penalti, sudah lama kami tidak dihadiahkan sebanyak ini."