ASTON VILLA 2 CHELSEA 1

Thomas Tuchel kelihatan tenang mengenai situasi Edouard Mendy selepas penjaga gawang itu mengalami kecederaan tulang rusuk dalam kekalahan 1-2 kepada Aston Villa, tengah malam tadi, kurang seminggu menjelang final Liga Juara-Juara (UCL).


Mendy digantikan oleh Kepa Arrizabalaga selepas rehat ekoran pemain Senegal itu bertembung dengan bingkai golnya sendiri.

The Blues masih dapat melayakkan diri ke UCL tanpa menghiraukan kekalahan kepada Villa itu, namun isu kecergasan penjaga gol utama berkenaan sudah tentu akan menjadi topik utama.

Mendy menyertai The Blues tahun lalu dan segera cepat mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama di London di bawah kepimpinan Frank Lampard sebelum mengekalkan posisinya apabila Tuchel mula dilantik empat bulan lalu.

Pengurus kelahiran Jerman itu berharap ada berita baik dalam pemeriksaan susulan hari ini, tetapi optimis tonggaknya itu akan sedia diturunkan bagi mengekang Manchester City di Porto, hujung minggu ini.

Ditanya bagaimana mereka akan menangani kehilangan Mendy, Tuchel berkata kepada wartawan: "Ia mudah ditangani.

"Dia menanggung kesakitan yang teramat di tulang rusuknya. Kami akan mengetahuinya lebih lanjut mengenai apa yang sedang terjadi.

"Kami akan melihat adakah dia mampu beraksi dan jika berpeluang, kami akan mendorong untuk melakukan segalanya yang terdaya agar dia dapat mengemudi gawang."




Mendy merakamkan rekod 16 perlawanan EPL tanpa bolos musim ini, hanya diatasi pencapaian Thibaut Courtois (17), Jan Oblak (18), Ederson (19) dan Mike Maignan (21) dalam lima liga teratas Eropah sepanjang musim 2020-21.

Sembilan daripadanya dicatat di bawah asuhan Tuchel tatkala Maignan sudah melakukannya 11 kali dalam tempoh yang sama.

Kebiasaannya seseorang penjaga gol akan ditembusi sekitar 23 gol, namun Mendy mampu menghasilkan pencapaian yang lebih baik.

Berdasarkan prestasi Kepa musim lalu, Mendy jelas mempamerkan peningkatan yang memberangsangkan di kelab yang berpangkalan di London itu.

Kepa melepaskan 47 gol EPL dan purata 12.7 jaringan itu adalah akibat kesilapannya -- rekod terburuk ketiga dalam lima liga utama.

Pemain Sepanyol itu tidak boleh dipersalahkan atas kekalahan tengah malam tadi, lebih-lebih lagi satu-satunya gol yang dilepaskannya ialah menerusi sepakan penalti.

Namun, Tuchel akur tuah memihak mereka berikutan kemenangan 4-2 Tottenham ke atas Leicester City bagi memastikan The Blues menjamin slot keempat.

"Kami bernasib baik kerana Tottenham melaksanakan tugas buat kami pada hari ini. Seperti yang saya katakan, kami ke mari untuk menang dan memberi cabaran kepada pihak lawan tetapi ia tidak terjadi," tambahnya.

"Begitupun, kami masih di kedudukan untuk mengakhiri kempen ini di tangga keempat, termasuk sekiranya kekalahan dan ia hasil daripada kerja keras pasukan selain tekal menghasilkan keputusan yang baik.

"Kami perlu merombak perincian dan mengetengahkan (corak permainan) yang tepat (berdepan Man City) kerana kami mahu melakar keputusan yang positif."