Potensi Roma menyambar khidmat Paulo Dybala mampu mengimbangi Serie A, secara tidak langsung mengangkat anak buah Jose Mourinho itu sebagai pencabar Scudetto, menurut bekas pengurus Giallorossi, Fabio Capello.

Selepas meninggalkan Juventus sebagai ejen bebas sebaik kontraknya tamat pada penghujung bulan lalu, Dybala dikaitkan dengan Inter dan Napoli tetapi kini kelihatan bersedia untuk menyertai pemenang Liga Persidangan Europa itu.

Dengan laporan semalam mengaitkan Dybala hampir menyertai Roma, pemain antarabangsa Argentina itu tiba sudah di Portugal untuk pemeriksaan perubatan di mana pasukan berkenaan mengadakan kem latihan pra-musim.

Dybala menjaringkan 82 gol dalam 210 penampilan Serie A bersama Bianconeri sebaik tiba dari Palermo pada 2015 termasuk meledak 25 gol dari luar kotak penalti -- terbanyak daripada mana-mana pemain domestik yang lain.

Dalam kalangan pemain Roma, ketua pasukan, Lorenzo Pellegrini, merupakan penyumbang tertinggi gol dari luar kotak penalti dengan sembilan jaringan, lantas perpindahan tonggak Argentina itu mampu menjulang kredibiliti Giallorossi untuk meraih pencapaian lebih baik berbanding tempat keenam musim lalu.

Ditanya oleh Il Messaggero sama ada kelibat pemain Argentina itu mampu mengubah keseimbangan di puncak Serie A, Capello menjawab: "Saya akan menjawab ya. Dia seorang pemain yang hebat, salah seorang pemain yang mampu membuat perubahan.

“Dia berupaya meningkatkan tahap pasukan dan mengubah sesuatu dalam Serie A memandangkan Roma kini berada dalam kelompok pilihan.

"Jika Mourinho sendiri yang menelefon anda, ia menjadi sangat sukar untuk mengatakan tidak."




Capello mengetuai Roma kembali bergelar juara pada 2001 daripada koleksi tiga kejuaraan Serie A dengan mengetepikan Juventus menerusi kelebihan hanya dua mata.

Pakar taktikal legenda itu percaya terdapat persamaan di antara pasukan Mourinho dan anak buahnya yang pernah menjuarai Scudetto, sambil menambah: "Perbandingan itu munasabah. Saya melihat banyak persamaan.

“Saya fikir Mourinho, seperti yang berlaku kepada saya pada musim itu akan cuba menjamin keseimbangan dalam pasukan yang mempunyai potensi serangan yang hebat.

"Lagipun, Roma telah ditakdirkan untuk menyerang; ketika itu kami mempunyai Cafu dan Vincent Candela di bangku simpanan. Saya memerlukan perlindungan."