Stefano Pioli dan Jose Mourinho mengesahkan status mereka sebagai pengurus terbaik Serie A dengan membawa Milan dan Roma menjulang trofi musim lalu, demikian menurut bekas ketua jurulatih Rossoneri dan Giallorossi, Fabio Capello.

Capello juga percaya perpindahan semula Romelu Lukaku ke Inter mampu menggegar seluruh liga utama Itali atas persembahan dominannya dalam penggal pertamanya bersama Nerazzurri.

Tatkala Pioli muncul pengurus Milan pertama yang memenangi Scudetto sejak Massimiliano Allegri pada 2010-11, bulan lalu, Mourinho pula menamatkan kemarau trofi Roma selama 14 tahun dengan memenangi Liga Persidangan Europa pada musim pertamanya bersama kelab itu.

Capello, yang mengetuai Milan memenangi empat kejuaraan Serie A dalam lima musim di antara 1991 dan 1996 sebelum menjadi tunjang kemenangan Scudetto Roma pada 2000-01, memuji kedua-dua pasukan itu sambil berpesan bahawa musim depan akan menjadi sia-sia buat kebanyakan seteru yang lain.

"Yang terbaik? Pioli dan Mourinho," katanya kepada Il Messaggero.

"Dia yang pertama membawa Milan kembali menikmati kejayaan, jurulatih yang kedua pula mengesahkan dirinya sebagai pengendali antarabangsa. Jose telah mencapai kejayaan yang sangat penting.

"(Pengurus Juventus) Allegri, (Maurizio) Sarri di Lazio dan Luciano Spalletti (Napoli) menanggung risiko untuk kembali ke Serie A. Mereka diberikan ruang musim peralihan. Selepas ini mereka perlu membuktikannya."





Sementara itu, Inter dilaporkan bersedia memancing semula Lukaku -- setahun selepas perpindahannya ke Chelsea dengan beberapa nama besar bola sepak Itali sudah menjangkakan kesannya.

Legenda Milan, Alessandro Costacurta, menganggap perjanjian itu pasti akan memacu Inter sementara Gianfranco Zola melabel pemain Belgium tersebut bakal menghasilkan impak besar dalam barisan kendalian Simone Inzaghi berkenaan selepas meledak 30 gol bersama Nerazzurri dalam kempen 2020-21.

Capello bersetuju dengan pandangan itu sambil menambah: "Lukaku merupakan pemain hebat kerana di Itali, tiada siapa yang dapat mengawalnya berikutan kekuatan fizikalnya."

Milan tidak berbelanja besar seperti pesaing yang lain, lantas Capello memuji dasar kelab itu dan mendedahkan keyakinannya bahawa mereka mampu terus bersaing.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai pasaran kerana topik ini adalah tanggungjawab jurulatih,” tambahnya.

"Bagaimanapun, pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini membuatkan saya untuk mengatakan bahawa pemain perlu mempunyai keyakinan. Di Milan, mereka telah belajar bagaimana untuk mengendalikan sesuatu dan tahu bagaimana untuk memilih pemain."