Legenda Itali, Fabio Cannavaro, menyarankan agar bekas kelabnya, Napoli, mencuba untuk mendapatkan Paulo Dybala sambil mereka juga perlu berkorban untuk memperbaharui kontrak Kalidou Koulibaly.

Dybala dijangka akan menyertai Inter Milan daripada Juventus selepas kontraknya tamat pada penghujung bulan ini sambil Romelu Lukaku juga terus dikaitkan untuk menyertai pasukan bimbingan Simone Inzaghi berkenaan secara pinjaman daripada Chelsea.

Penyokong Napoli ternyata kecewa dengan presiden kelab, Aurelio De Laurentiis, selepas pasukan Partenopei itu dikatakan akan mengurangkan perbelanjaan mereka sehingga menjejaskan masa depan Dries Mertens dan Koulibaly.

Lorenzo Insigne sudahpun meninggalkan kelab itu untuk menyertai pasukan Liga Utama Amerika Syarikat (MLS), Toronto, dan Cannavaro, yang memulakan kariernya di Naples, menggesa Napoli untuk membeli dybala.

"Jika saya berada di tempat De Laurentiis, saya akan membuat satu kertas kerja untuk mendapatkan Dybala," kata pemenang Piala Dunia itu kepada Corriere dello Sport.

Ketika Napoli kelihatan sukar untuk mendapatkan pemain kebangsaan Argentina itu, Cannavaro berkata mereka seharusnya melakukan segala yang termampu untuk mengekalkan Koulibaly.

Barcelona, Juventus dan Manchester United dilaporkan berminat untuk mendapatkan pertahanan tengah itu, yang kontraknya akan tamat pada Jun 2023.

"Kalidou merupakan tonggak pasukan ini sepanjang beberapa tahun lalu dan amat bertuah untuk terus berharap kepadanya.

"Jika saya berada di kelab ini, saya akan melakukan pengorbanan untuk memperbaharui kontraknya.

"Mungkin dia mempunyai keinginan yang boleh dipenuhi kelab lain tetapi amat sukar untuk mencari pemain sepertinya di posisi itu. Kita perlu mengekalkan pemain seperti itu.

"Terdapat kekurangan pemain sepertinya, anda boleh mencari pemain tengah atau penyerang," katanya.