INTER MILAN 4 GENOA 0

Hakan Calhanoglu menjaringkan gol gemilang dalam penampilan pertamanya bersama Inter Milan sambil Edin Dzeko turut mengikut jejak sama untuk ketua jurulatih baru, Simone Inzaghi, memulakan eranya dengan kemenangan 4-0 ke atas Genoa dalam Serie A awal pagi tadi.

Selepas meninggalkan AC Milan untuk menyertai pasukan seteru setempat, Inter, Calhanoglu turut mencetuskan gol pembukaan di San Siro dengan membantu jaringan Milan Skriniar seawal minit keenam.

Sudah pasti ia menjadi perlawanan pembukaan musim terbaik yang boleh diharapkan bekas pengendali Lazio, Inzaghi, apabila pasukannya mendahului dengan dua jaringan sebelum suku jam pertama menerusi rembatan kencang dari jarak 25 ela Calhanoglu, yang memanfaatkan hantaran pendek Dzeko sebelum menyudahkannya ke penjuru bawah kanan gawang lawan.

Mereka kemudian menemui gol ketiga pada minit ke-74 apabila pemain gantian, Arturo Vidal, mempamerkan penyudah jarak dekat hasil umpanan Nicolo Barella dan Dzeko tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menyudahkan hantaran Vidal untuk memastikan hari gemilang Inter dengan jaringan pertamanya pada minit ke-87.

Seterusnya, Inter akan meneruskan saingan Serie A dengan bertandang ke laman Hellas Verona, Sabtu depan manakala Genoa pula akan menantikan kunjungan Napoli dua hari kemudian.