Hakan Calhanoglu percaya Inter Milan merupakan pasukan yang lebih kuat berbanding AC Milan walaupun Milan memenangi Scudetto musim ini, sambil mempertikaikan kelakuan Zlatan Ibrahimovic.

Calhanoglu menyaksikan Inter menjulang trofi Serie A sewaktu dia bersama Milan pada penghujung musim 2020-21.

Pemain kebangsaan Turki itu kemudian berpindah ke pasukan jiran, Inter, dalam musim berikutnya, di mana Milan kemudian memenangi Scudetto untuk menamatkan kemarau 1,976 hari tanpa trofi.

Ia juga merupakan kali pertama Inter dan Milan menamatkan Serie A selaku dua pasukan teratas buat dua musim berturut-turut tetapi Calhanoglu menegaskan Inter bimbingan Simone Inzaghi jauh lebih kuat berbanding pasukan jiran berkenaan.

"Inter pasukan yang jauh lebih kuat daripada Milan. Kami tiba-tiba tewas dalam aksi 'derby' selepas saya dan (Ivan) Perisic dikeluarkan pada minit ke-75," katanya kepada Tivibu Spor.

"Kami mendahului 1-0, kemudian tewas 1-2. Jurulatih juga menyumbang kepada kekalahan itu, saya sudah katakan kepadanya.

"Dalam saingan piala, kami menewaskan mereka 3-0. Pasukan ini amat bagus," katanya.

Ibrahimovic dilihat menghisap cert sewaktu keraian kejuaraan Milan, di mana dia kemudian mengambil mikrofon dan berkata kepada penyokong mereka: "Hei, sampaikan persanan ini buat Hakan."

Calhanoglu menegaskan bahawa dia tidak akan berkelakuan seperti Ibrahimovic sambil mempertikaikan kelakuan pemain itu pada usia 40 tahun.

"Dia sudah 40 tahun, saya tidak akan melakukan perkara seperti itu jika saya seusia dengannya. Dia bukan lagi 18 tahun. Dia gemar menjadi tumpuan.

"Tahun ini, dia tidak menyumbang kepada Scudetto, dia jarang dapat bermain. Tetapi dia melakukan segala-galanya untuk mendapatkan perhatian penyokong.

"Saya langsung tidak kisah. Ia sesuatu yang pelik kerana dia seorang yang sentiasa menghubungi saya sewaktu kami di Milan, setiap kali mahu keluar makan malam dan menaiki motosikal dengan saya.

"Saya menghormatinya. Dia juga menulis tentang saya dalam bukunya, dia perlu menulis tentang itu, jika tidak bukunya akan kosong.

"Saya tidak akan melayaninya. Lebih baik tidak melayaninya," katanya lagi.