Inter mengesahkan ketibaan Felipe Caicedo secara pinjaman daripada seteru Serie A, Genoa, hingga akhir musim ini.

Pemain berusia 33 tahun itu -- yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan pengurus Inter, Simone Inzaghi, di Lazio -- menjadi pemain Ecuador pertama yang menyarung jersi Nerazzurri.

Caicedo menyertai Genoa daripada Lazio pada Ogos lalu tetapi akan menghabiskan baki musim 2021-22 di San Siro, di mana dia akan memberikan saingan kepada Lautaro Martinez dan Edin Dzeko.

"Saya sangat teruja. Saya mahu berjaya di sini," katanya yang akan memakai jersi nombor 88 kepada laman sesawang rasmi Inter.

"Saya ingin berterima kasih kepada jurulatih, Inzaghi, kerana mengusahakan yang terbaik untuk membawa saya ke sini. Saya gembira dan tidak sabar lagi untuk memulakan latihan dan bermain bersama Inter.

"Saya sangat berbangga untuk mewakili negara saya dan menjadi orang Ecuador pertama yang bermain untuk Inter. Saya sangat gembira dan saya fikir saya boleh melakukannya dengan sangat baik di sini."






Caicedo hanya menemui satu sentuhan berbisa dalam 10 penampilan bersama Genoa dengan dua kali turun sebagai pemain utama tetapi dia mampu memainkan peranan mencipta gerakan di bahagian depan.

Penyerang tersebut yang pernah dibimbing Inzaghi dan bersama-sama menjulang Coppa Italia pada 2018-19 sudah tidak sabar lagi untuk bertemu semula dengan pengurusnya itu.

"Saya pernah dibimbingnya selama empat tahun di Lazio dan kini kami dapat menyambungnya semula," kata bekas pemain antarabangsa Ecuador itu.

"Dia benar-benar watak penting.

"Dia meyakinkan saya untuk menyertai pasukan. Jadi saya bersyukur dan tidak sabar untuk memulakan latihan di bawahnya semula."