RB Leipzig mengesahkan bintang remaja Amerika Syarikat (AS), Caden Clark, akan menyertai mereka daripada New York Red Bulls.

Pemain tengah itu akan berhijrah ke kelab Bundesliga berkenaan dengan memeterai perjanjian hingga Jun 2024, berkuat-kuasa sebaik kempen Liga Utama Bolasepak (MLS) musim ini berakhir.

Pemain berusia 18 tahun itu merupakan produk akademi Barcelona sebelum berpindah ke New York.

Dia menjaringkan gol dalam kemunculan pertamanya, Oktober lalu, dan telah membuat lapan penampilan dalam musim 2020-21 dengan mencipta empat gol dan satu bantuan jaringan.

"Caden Clark mempunyai kemahiran hebat dan potensi besar," kata Pengarah Teknikal Leipzig, Christopher Vivell.

"Dia boleh bermain di mana-mana posisi tengah menyerang dan sangat mudah untuk memadankannya dengan gaya permainan kami.

"Selain itu, dia adalah ancaman untuk mencetak gol, memiliki kualiti hantaran yang bagus dan merembat dengan baik yang mampu membantunya meledak dari dari jarak jauh.

"Kemahiran ini menjadikannya amat cocok dengan falsafah permainan kami."






Menurut bintang itu dalam satu kenyataan: "Saya sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan New York Red Bulls.

"Saya bukan sahaja dapat berkembang, malah diberi peluang dalam minit-minit penting dalam divisyen dua dan MLS banyak membantu perkembangan saya secara profesional. Saya akan terus melakukan apa yang saya mampu untuk membantu pasukan ini memenangi Piala MLS buat julung kalinya."