Xavi mengakui akan berlapang dada sekiranya Sergio Busquets memilih untuk menamatkan kariernya di Barcelona selepas tamat musim ini walaupun ketua jurulatih Blaugrana itu berharap pemain tengah berkenaan akan kekal bersama mereka.

Busquets memenangi 21 gelaran utama sepanjang 15 tahun bersama skuad senior Barca tetapi kontrak pemain berusia 34 tahun itu bersama pasukan gergasi Catalan berkenaan akan tamat pada penghujung musim ini.

Ketika presiden Barca, Joan Laporta, mendedahkan bahawa kelab itu sedang berusaha untuk menawarkan lanjutan kontrak setahun buat Busquets, pasukan Liga Utama Amerika Syarikat (MLS), Inter Miami, dilaporkan sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat perancang itu.

Barca kini berkelebihan 12 mata di depan Real Madrid untuk menduduki tangga teratas LaLiga menjelang perlawanan menentang Girona awal pagi esok dan Xavi berharap Busquets akan kekal di Camp Nou walaupun mengakui ia merupakan waktu terbaik untuk kapten pasukannya itu mengucapkan selamat tinggal sebaik memenangi gelaran LaLiga.

"Ayuh lihat pada penghujung musim ini," kata Xavi mengenai bekas rakan sepasukannya itu.

"Saya sudah berulang kali katakan, bagi saya Busquets amat penting, bukan hanya di atas padang tetapi juga di dalam bilik persalinan.

"Saya sudah banyak kali katakan kepadanya bahawa saya mahu dia kekal di sini tetapi saya juga memahami keadaannya.

"Saya katakan kepadanya, jika segalanya berjalan lancar, dia boleh meninggalkan kelab ini dengan gelaran liga dan momen yang hebat.

"Saya amat memahami dirinya. Ia sukar. Saya rasa dia akan meneruskannya," katanya.