Bekas pemain tengah Liverpool, Naby Keita, mencetuskan kontroversi dengan majikannya, Werder Bremen, berikutan kerana enggan bertandang ke Bayer Leverkusen sebaik mendapati dia telah diketepikan daripada kesebelasan utama.

Keita, 29, kembali ke Jerman pada musim panas ini selepas dibelenggu kecederaan sepanjang lima tahun di Anfield tetapi isu kecergasan terus menjadi batu penghalang kepada bekas pemenang Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang hanya sempat beraksi lima perlawanan dalam musim sulungnya di Bremen.

Walaupun minit permainannya terhad penggal ini, Keita bertekad untuk diturunkan menentang pendahulu liga tanpa kalah yang dikemudi Xabi Alonso itu di BayArena, sebaliknya pemain antarabangsa Guinea tersebut pulang ke rumah selepas mengetahui dia tidak akan memulakan perlawanan.

Pengarah Sukan Werder Bremen, Clemens Fritz, mengesahkan bahawa Keita enggan menaiki bas pasukan kelmarin selepas mengetahui bahawa namanya tiada dalam senarai kesebelasan utama menentang Leverkusen yang kemudiannya melakar kemenangan 5-0 dan mengesahkan kejuaraan Bundesliga sulung buat mereka.



Fritz menjelaskan: "Selepas Naby mengetahui bahawa dia tidak akan beraksi dari awal permainan, dia memutuskan untuk tidak menaiki bas dan pulang ke rumah.

"Kami akan berbincang dengannya dan ejennya esok tentang akibat dan proses mengenai kelakuannya."