Pemain pertahanan Atletico Madrid, Jose Maria Gimenez, tidak mengalami kerosakan tulang selepas dia terpaksa meninggalkan padang akibat kecederaan pergelangan kaki kiri ketika kemenangan 1-0 Uruguay ke atas Wales dalam Piala China di Stadium Pusat Sukan Guangxi, semalam.

Pemain pertahanan itu hanya sempat bermain lapan minit dalam aksi final itu akibat mendapat kecederaan tersebut.

Gimenez jatuh selepas berlaku perlanggaran dengan pemain tengah Wales, Andy King, dan pada mulanya menerima rawatan di padang sebelum mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksinya.

Kegagalan untuk terus bermain akan menyebabkan kebimbangan di Atletico, dengan Gimenez telah bermain sebanyak 32 kali dalam semua pertandingan musim ini.

Tetapi kenyataan dari kem Uruguay hari ini mengesahkan bahawa penilaian lanjut menolak berlakunya kerosakan pada tulang pergelangan kaki Gimenez.

Dia telah kembali ke Atletico untuk meneruskan proses pemulihannya.