Penjaga gol legenda Itali, Gianluigi Buffon, tidak merancang untuk menamatkan kariernya dalam masa terdekat sambil berkata "saya mungkin bersara pada usia 55 tahun".

Penjaga gol veteran itu melakukan penampilan pertamanya ketika mewakili Parma pada usia 17 tahun sekitar 1995 dan dia kembali ke Stadio Ennio Tardini tahun lalu -- selepas semusim bersama Paris Saint-Germain (PSG) yang mengapit dua tempohnya bersama Juventus.

Pemenang Piala Dunia 2006 itu menandatangani kontrak lanjutan selama setahun sebaik tamat musim lalu dan ia bermakna, dia akan kekal bermain bola sepak pada usia 46 tahun menjelang 2024.

Ketika Buffon sedang bersiap sedia untuk melalui musim ke-28 sepanjang kariernya, dia mendedahkan bahawa masih belum ada niat untuk bersara.

"Saya mungkin bersara pada usia 55 tahun," katanya dalam sidang media di Ducali semalam.

"Saya bermain selama 10 tahun di Parma, kemudian 20 tahun di Juve, setahun di Paris dan kini saya kembali ke Emilia.

"Dan saya bukannya berusia 100 tahun. Selama 10 tahun ini, saya memikirkan bila saya akan berhenti tetapi kemudian saya sentiasa meneruskannya.

"Saya mempunyai pengalaman penting yang membenarkan saya untuk mengenali bola sepak tetapi saya tidak 100 peratus pasti saya akan masih berada di dunia ini (ketika bersara).

"Mungkin saya akan mengalami sesuatu yang berbeza," katanya.