SOUTHAMPTON 0 MAN UTD 1

Bruno Fernandes memacu Manchester United mencipta kemenangan 1-0 ke atas Southampton di St Mary's untuk mengekalkan rentak kemenangan berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) buat julung kalinya di bawah era Erik ten Hag selepas menundukkan Liverpool.


Fernandes, yang mengekalkan lilitan kapten tatkala Harry Maguire dan Cristiano Ronaldo bermula di bangku simpanan, menghasilkan penyudah menarik pada minit ke-55 untuk menghadiahkan kemenangan buat pelawat, sebentar tadi.

Joe Aribo hampir menyamakan kedudukan buat Southampton menerusi tandukan jarak dekat tetapi United menyajikan salah satu persembahan pertahanan mereka yang paling tersusun dalam beberapa bulan kebelakangan ini bagi memastikan kejayaan pertama liga di tempat lawan selepas lapan percubaan.

Selepas memulakan kempen baru dengan buruk, United menemui rentak kemenangan liga berturut-turut buat kali pertama sejak Februari lalu, sekali gus mula menghadirkan keyakinan terhadap sentuhan Ten Hag.



United dinafikan gol awal dalam apabila barisan pertahanan, Gavin Bazunu, Kyle Walker-Peters dan Armel Bella-Kotchap, kental mematahkan percubaan lawan di dalam kotak penalti dalam usaha menyekat percubaan Anthony Elanga, Fernandes dan Christian Eriksen.

Bella-Kotchap sepatutnya lebih tenang ketika memiliki peluang terhidang menuju setengah jam permainan sebelum kelincahan Che Adams berakhir dengan satu percubaan lemah tepat ke arah David de Gea.

Walaupun Bazunu sempat bertindak cemerlang menepis sepakan voli kaki kanan Scott McTominay empat minit selepas rehat, gawangnya dirobek juga tidak lama kemudian apabila Fernandes tenang hantaran lintang Diogo Dalot dengan voli ke sudut kiri bawah pintu gol.

United terhutang budi kepada De Gea kerana mengekalkan kelebihan tipis itu yang menyaksikan tonggak Sepanyol tersebut tangkas menyelamatkan tandukan kencang Aribo sebelum Ronaldo diperkenalkan dalam perlawanan.

Casemiro kemudian membuat penampilan sulung bersama United dari bangku simpanan ketika The Red Devils dikerah bertahan untuk meraih kemenangan berharga yang menyaksikan Sekou Mara dua kali hampir menyamakan kedudukan di penghujung permainan.