Penyerang yang kini dalam pemerhatian kelab besar, Leandro Trossard, perlu menunjukkan komitmen penuh kepada Brighton & Hove Albion andai dia berhasrat merebut semula tempat dalam kesebelasan utama, demikian tegas pengurus kelab, Roberto De Zerbi.

Trossard telah dikaitkan dengan perpindahan ke Newcastle United atau bergabung semula dengan Graham Potter di Chelsea selepas mempamerkan aksi cemerlang sebelum kempen Piala Dunia di Qatar, tetapi sejak itu prestasinya mula merosot.

Pemain berusia 28 tahun itu meledak tujuh gol dalam 16 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, tetapi dia diketepikan ketika The Seagulls membelasah Everton 4-1 Rabu lalu dan sekadar hanya memulakan permainan sekali selepas kempen mengecewakan bersama Belgium dalam Piala Dunia.

Bercakap kepada The Athletic, De Zerbi menjelaskan tentang situasi Trossard: "Saya fikir dia adalah salah seorang pemain terbaik buat kami dan salah seorang pemain tunjang kami.





"Saya ingin sentiasa menurun Leo dalam kesebelasan utama tetapi ia bukan bergantung kepada saya sahaja, ia termasuklah Leo sendiri.

"Saya mahukan seorang pemain yang bekerja untuk pasukan ketika di atas padang dan Leandro cukup tahu tentang pendapat saya ini. Kami sering berbincang.

“Saya menggemarinya sebagai pemain tetapi saya menuntut prestasi yang lebih baik daripadanya kerana dia sebenarnya mampu sekiranya dia bekerja lebih keras, dia lebih banyak berlari di atas padang.

"Saya idamkan pemain yang memberikan 100 peratus dalam setiap sesi latihan dan setiap perlawanan. Tanpa karakter seperti ini, mereka tidak akan diturunkan."