'Tiada siapa mampu jejas mentaliti saya', ujar kapten Selangor FC, Brendan Gan, yang sedia bangkit daripada kanser dengan menganggap masalah kesihatan yang dialaminya itu tidak akan memberi kesan terhadap psikologi dan emosinya di atas padang.

Berkongsi bicara bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, perancang tengah Harimau Malaya itu percaya mampu kembali mengukuhkan reputasinya musim ini sekaligus melupakan detik hitam pada 2021.

"Keadaan saya bertambah baik dan ketika ini perlu menjalani beberapa penilaian, saya sangat gembira kerana kembali menjalani latihan," kata Brendan.

"Sepanjang proses pemulihan, saya mengalami penurunan berat badan dan saya telah berkerja keras untuk menangani masalah ini serta untuk kembali menemui tahap kecergasan terbaik.

"Saya berharap apa yang telah diusahakan mampu memberikan manfaat kepada saya ketika beraksi bersama Selangor nanti.

"Ketika saya mengetahui saya mengalami masalah kesihatan ini, doktor telah memberitahu bahawa saya hanya memiliki enam bulan untuk hidup, ia telah begitu menjejaskan saya kerana saya telah mengharungi naik turun sepanjang karier saya. Saya telah melatih minda dan serta mentaliti kuat untuk mengharungi sebarang cabaran dalam hidup.

"Saya berjaya menjadikan perkara negatif kepada positif dan bagi saya, tiada sesiapa yang mampu menjejaskan minda saya dan sentiasa percaya dengan apa yang mampu saya lakukan."

Ditanyakan mengenai skuad Selangor bagi musim baru, Brendan berkata, "Bagi saya, sentiasa musim Selangor memiliki barisan pemain yang berkualiti, sekarang kami dalam usaha untuk memastikan setiap pemain ini dapat beraksi bersama sebagai satu unit. Bolasepak adalah sukan berpasukan kualiti secara kolektif membantu pasukan menjuarai gelaran, memenangi perlawanan."

Imej: Selangor FC