Bos Inter Milan, Frank de Boer, menyanjung persembahan Mauro Icardi selepas kapten pasukan itu meledak dua gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Torino yang kini berada dalam prestasi terbaik mereka.

Tuan rumah menguasai permainan sejak wisel pertama ditiupkan di San Siro. Mereka berada di hadapan pada separuh masa pertama selepas usaha awal penjaga gol Torino, Joe Hart, untuk menyekat larian Icardi, sebaliknya bola tertampan ke lutut penyerang itu sebelum bergolek ke arah gawang.

Selepas beberapa kali gagal memanfaatkan peluang terbuka, Inter tersentak pada minit ke-63 apabila Andrea Belotti menghukum pertahanan tuan rumah untuk mengikat kedudukan 1-1.

Tiga minit menuju masa kecederaan, Icardi meledak gol kemenangan, sekali gus menamatkan episod tiga kekalahan berturut-turut mereka dalam liga.

Gol itu merupakan jaringan kelapan pemain Argentina itu, namun ia adalah jaringan pertamanya dalam tempoh sebulan selepas dihimpit masalah dengan penyokong sendiri berikutan pendedahan yang dibuat dalam autobiografinya.

De Boer, bagaimanapun, cuba meredakan ketegangan itu dengan memuji persembahan penggempur utamanya itu.

"Icardi? Saya selalu mengatakan bahawa dia seorang pemain hebat yang mampu memberi sumbangan kepada pasukan," katanya. "Baiklah, bukunya tidak begitu bagus, tapi di dalam padang, dia sentiasa memberikan aksi maksimum."

Keputusan itu meredakan tekanan yang dipikul De Boer, selepas posisinya mula terancam dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

"Adakah saya berasa selamat dengan kemenangan ini? Adalah sedikit," katanya. "Kami perlu menang dan bagi saya, cara bagaimana kami menang juga penting.

"Kami perlu mneruskan sikap sebegini ketika menentang Sampdoria dan tidak mengundur ke belakang lagi.

"Sokongan daripada ahli lembaga pengarah juga penting, tapi ini semua adalah berkenaan sikap dan pada hari ini kami membuktikannya.

"Saya sentiasa bersikap positif sungguhpun kami menempuhi detik sukar. Saya sentiasa bekerja keras dan inilah hasilnya pada hari ini.

"Saya sangat yakin dengan skuad ini dan saya juga berterima kasih kepada peminat yang memberi sokongan kepada saya, begitu juga kepada pasukan. Selain keputusan hari ini, saya menyaksikan satu persembahan yang baik dan sebuah pasukan yang bersatu-padu."

Kemenangan keempat itu meletakkan Inter di tangga ke-10 Serie A musim ini.