Legenda olahraga, Usain Bolt, mendakwa dia telah menandatangani kontrak bersama sebuah pasukan bola sepak dan akan mengumumkan kelab yang masih menjadi tanda tanya itu, esok.

Bolt, yang mengakhiri kerjayanya sebagai pelari pecut selepas Kejohanan Dunia IAAF 2017 di London, sering bercakap tentang minat mendalamnya terhadap bola sepak dan bulan lalu mendedahkan dia akan menjalani sesi percubaan dengan Borussia Dortmund.

Atlet kelahiran Jamaica berusia 31 tahun itu juga berulang kali menyatakan minatnya untuk menyertai gergasi Liga Perdana, Manchester United, kelab yang dipujanya sementara baru-baru ini menawarkan perkhidmatannya kepada kelab francais Major League Soccer (MLS) milik David Beckham, Futbol Miami.

Bolt mengumumkannya di Twitter malam tadi tentang perkembangannya untuk mengukir nama dalam bola sepak.

"Saya telah menandatangani kontrak bersama sebuah pasukan bola sepak," tulis pemenang lapan pingat emas Sukan Olimpik itu.

"Ikuti perkembangan lanjut jam 8 pagi, esok."