Tuan rumah, Kelantan, berjanji akan bangkit selepas kalah 1-2 kepada Selangor dalam aksi pembukaan Kumpulan D, Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 18 Tahun di Stadium Mini Kijang Emas, Kota Bharu, petang semalam.

Selepas ketinggalan hasil kesilapan barisan pertahanan dalam babak pertama, Kelantan pantas menyamakan kedudukan dalam babak kedua melalui sepakan penalti Mohd Karman Radzwan pada minit ke-47.

Selang tiga minit, Merah Kuning pula dianugerahkan sepakan penalti yang dijaringkan Muhammad Zulhairy Hashim untuk menghadiahkan tiga mata kepada skuad bimbingan Wan Rizuan Wan Muhammad itu.

Ketua jurulatih Kelantan, Rizalman Hassan, akur dengan kekalahan itu sambil menyifatkan mereka tidak bernasib baik untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata.

"Gol awal Selangor memberi tekanan kepada kami ketika pemain masih belum bersedia sepenuhnya.

"Kami bangkit untuk menyamakan kedudukan tetapi tidak sampai tiga minit, kesilapan pertahanan memberikan Selangor sepakan penalti untuk gol kemenangan mereka.

"Kami terus menyerang dalam tempoh 10 minit terakhir dan memiliki tiga peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun semuanya gagal. Insya-Allah, kami akan bangkit untuk memburu kemenangan dalam aksi kedua petang ini," katanya.

Skuad Kijang Muda itu perlu mencari kemenangan ketika menentang Pahang bagi menghidupkan semula peluang ke suku akhir.

Selangor pula dijadualkan menentang Melaka dan kemenangan sudah pasti membawa mereka ke suku akhir.