Naib juara Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City FC, terus mempamerkan rentak positif menerusi keserasian yang dicapai antara pemain.

Pertemuan dengan Negeri Sembilan FC pada 14 Februari nanti jadi medan terbaik buat pengendali, Bojan Hodak, untuk sekali lagi bereksperimentasi sebelum membuka tirai aksi liga susulan J. Partiban sah tidak akan beraksi di pertemuan pertama menentang skuad Harimau Kumbang.

Kecederaan pangkal paha yang dihadapi Partiban memaksanya melupakan aksi persahabatan menentang Negeri Sembilan FC dan bakal terlepas aksi pembukaan Liga Super musim 2023 menentang Penang FC.

Partiban terpaksa direhatkan selama dua minggu lagi selepas terkini menerima lagi suntikan untuk memulihkan kecederaan pangkal pahanya minggu lalu.

"Partiban telah mengambil suntikan untuk pemulihan dan akan bersama pasukan selepas pulih. Dia akan terlepas pertemuan dengan Negeri Sembilan dan aksi pembukaan Liga Super nanti," kata Bojan.

Bojan turut menyatakan tiada keraguan yang anak buahnya kini berada di tahap terbaik dan segala persediaan juga berada di landasan yang betul, hanya menunggu masa untuk membuat penilaian selepas pertemuan dengan Negeri Sembilan.

"Persiapan kami berjalan dengan baik. Kami berada di fasa terakhir fasa pramusim dan menjelang perlawanan bertemu Penang kami akan bersedia."