Pemain tengah Mexico, Andres Guardado, mencemuh Neymar selepas Brazil tersingkir daripada Piala Dunia sebagai membalas komen terdahulu penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu terhadap pasukan berkenaan.

Brazil menundukkan Mexico 2-0 untuk menyingkirkan lawan itu dalam pusingan 16, yang mendorong Neymar untuk mencemuh pasukan Guardado itu selepas perlawanan dengan berkata: “Mereka bercakap terlalu banyak dan kini mereka akan membuat perjalanan pulang.”

Tetapi skuad Selecao itu sendiri ditunjukkan pintu keluar oleh Belgium dalam suku akhir, awal pagi tadi, dengan gol sendiri Fernandinho dan ledakan cemerlang Kevin De Bruyne membuat gol lewat Renato Augusto tidak lebih sekadar satu sagu hati.

Guardado, pemain perancang Real Betis yang beraksi menentang Neymar ketika mewakili Valencia tatkala penyerang Brazil itu masih bersama Barcelona, menggunakan saluran media sosial untuk menghantar komen balasnya susulan kekalahan Brazil.

“Sekarang siapa yang akan membuat perjalan pulang?,” cetusnya melalui Instagram.

Neymar hanya bertanggungjawab untuk hanya satu daripada sembilan percubaan tepat Brazil ketika rebah kepada kejaguhan Belgium, meninggalkannya dengan hanya dua gol untuk dibanggakan di Russia.