Semenjak Johor Darul Ta’zim (JDT) dijenamakan pada tahun 2012 dan diterajui oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, ia telah menetapkan satu penanda aras kepada semua pemain, pasukan kejurulatihan dan pengurusan kelab bahawa tiada yang lebih besar dari kelab itu.

Itulah prinsip yang telah ditetapkan oleh TMJ supaya pemain-pemain, pengurusan kejurulatihan dan kakitangan kelab bola sepak Harimau Selatan itu tidak tersasar daripada objektifnya, di mana ia bertujuan untuk mendidik kakitangannya supaya terus bekerja sebagai satu pasukan selain keharmonian di dalam kelab itu dapat terus dijaga bagi menggekalkan imej kelab itu sendiri.

Dengan prinsip itulah yang membuatkan Harimau Selatan telah berjaya mengecapi pelbagai kejayaan dalam masa beberapa tahun ini baik dalam liga tempatan mahupun di peringkat Asia, sebagaimana mereka menjuarai Piala AFC pada tahun 2015 dan juara Liga Super sembilan tahun berturut-turut selain kejuaraan lain dalam Liga Malaysia.

Bukan itu sahaja, TMJ turut menetapkan elemen tambahan dalam mewujudkan DNA dan falsafah bola sepak JDT supaya ia mencerminkan satu imej dan indentiti bola sepak Harimau Selatan yang selari dengan bola sepak moden yang diaplikasikan oleh kebanyakan kelab bola sepak terbaik di dunia.
Daripada faktor ini juga, pengurusan kelab dapat menilai pemain-pemain yang berkualiti sahaja di bawa ke Harimau Selatan supaya mereka dapat mengikuti falsafah bola sepak yang diwujudkan itu.

Sebagaimama yang semua ketahui, bola sepak moden yang diterapkan JDT sekarang ini adalah bermain secara “build up” dengan transisi pantas dengan hantaran pendek dan jauh selain memenangi bola di bahagian tengah dengan cepat supaya dapat mengawal permainan dengan pantas.

Begitu juga dalam prinsip mengurus kebajikan semua kakitangan, termasuk pemain dan jurulatih, ini yang menambahkan lagi keakraban di antara semua peringkat di dalam kelab itu termasuklah pentadbiran dan pasukan.

Daripada nilai inilah yang membuatkan pemain-pemain dan pasukan kejurulatihan serta pengurusan kelab akan memberikan seluruh jiwa raga mereka untuk kelab JDT.

Itulah kekuatan dan faktor yang membawa kejayaan sebenar JDT sehingga kini kerana berpegang kepada perinsip itulah mereka akan sentiasa menjaga disiplin dan faham akan tanggungjawab mereka bagi memastikan kelab itu terus mencipta kejayaan bagi memastikan kelab terus setabil dan mampu menarik penaja untuk sama-sama Harimau Selatan mencipta sejarah selain menjana pendapatan kelab.

Jika prinsip ini dapat diwujudkan oleh semua kelab-kelab di Malaysia, pasti ia banyak membantu kemajuan bola sepak negara kita selain mewujudkan satu ekosistem yang boleh memeriahkan industri bola sepak kita.