Bintang Manchester City, Bernardo Silva, mungkin akan meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), menurut pengurusnya, Pep Guardiola.

Silva memberi isyarat akan meninggalkan City pada akhir musim lalu apabila dikaitkan dengan Atletico Madrid dan Barcelona, tetapi pemain antarabangsa Portugal itu kekal di Manchester.

Pemain berusia 27 tahun itu telah memulakan lima daripada enam perlawanan liga musim ini dan menjaringkan gol kemenangan 1-0 di Leicester City.

Selepas turut memainkan peranan penting dalam kemenangan ke atas juara bertahan Liga Juara-Juara, Chelsea, semalam, Guardiola tampil memuji anak buahnya itu.

"Yang saya mahukan adalah Bernardo kekal bahagia, di sini atau di mana sahaja. Yang saya mahukan adalah kebahagiaannya kerana dia seorang pemain yang berhak mendapatkan yang terbaik," kata Guardiola.

"Dia sangat peka -- bukan sekadar peranannya sebagai pemain tengah malah dia amat memahami cara untuk memainkannya dan menjangka apa yang akan terjadi, dengan bola atau tanpa bola.

"Ketika bertemu Norwich City, dia beraksi luar biasa, juga ketika menentang Arsenal dan dia beraksi setaraf pasukan apabila bertemu Southampton -- ia tidak bagus.

"Tetapi betapa bagus prestasinya ketika bertemu Chelsea adalah sesuatu yang tidak mengejutkan. Berapa kali kita pernah menyaksikannya. Dia merupakan pemain luar biasa untuk kami kerana dia juga adalah orang yang luar biasa."





Silva telah memenangi tiga gelaran EPL sejak berkelana ke City pada 2017 dan Guardiola menambah: "Saya tidak pernah melupakan EPL kedua yang kami menangi, dengan 98 mata, dia muncul pemain terbaik di England. Dia dicalonkan untuk anugerah tetapi dia adalah yang terbaik.

"Selepas musim itu, prestasinya turun sedikit. Dia tidak diletakkan di posisi kegemarannya tetapi dia sudah kembali sekarang, semoga dia dapat membantu kami.

"Sekiranya, dia tetap ingin pergi dan memutuskan satu-satunya jalannya adalah untuk pergi, maka apa yang boleh saya katakan adalah kelab yang mendapatkan sentuhan Bernardo telah merekrut salah seorang pemain terbaik di dunia.

"Adakah dia lebih bahagia? Anda tidak boleh beraksi sebegini jika tidak gembira, ia mustahil."