Kemenangan ke atas Kelantan United sudah pasti mengukuhkan lagi kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk terus mendominasi carta Liga Super setakat ini.

Walaupun perlawanan Liga Super berehat beberapa minggu, prestasi anak didik Esteban Solari itu tidak menurun sebaliknya konsisten sebagaimana jumlah jaringan yang dicipta ketika bertemu pasukan dari Pantai Timur itu.

Ini menunjukkan Harimau Selatan menggunakan sebaik mungkin masa yang ada untuk memperkukuhkan skuadnya walaupun ada segelintir peminat akan mengatakan momentum juara sembilan kali berturut-turut itu akan terganggu.

Kita boleh lihat bagaimana rentak permainan yang tersusun dan kemas serta taktikal disiplin yang begitu tinggi dipamerkan oleh Harimau Selatan, baik ketika bertahan atau menyerang. Itu yang membuatkan pemain-pemain Kelantan United tertekan.

Apa yang menarik bagi penulis, strategi yang diguna pakai oleh Solari, di mana dia gemar memulakan serangan melalui bahagian tengah dan kurang mengunakan bahagian sayap untuk melakukan hantaran-hantaran lintang.

Lihat sahaja perjalanan jaringan diperolehi mereka, di mana banyak pergerakkan mengunakan kombinasi pemain melalui bahagian tengah.

Persoalannya, kenapa Solari mengamalkan cara begitu dalam sistem serangan pasukannya?. Jika di lihat sistem serangan melalui jalan tengah, ia banyak memberi manfaat kepada Harimau Selatan kerana ia akan memberi tekanan kepada lawan dan pada ketika itu, pihak lawan kadang-kadang berada dalam keadaan pegun dan ia memudahkan pemain Harimau Selatan untuk melakukan pertukaran posisi untuk mengelirukan lawan selain cepat sampai ke kawasan pertahanan lawan.

Strategi ini bukan mudah kerana ia memerlukan keupayaan teknikal yang baik serta “game IQ” yang tinggi.

Cara bermain begitu bukan mudah untuk dilakukan kerana ia memerlukan pemahaman yang tinggi serta persefahaman yang begitu baik di antara setiap pemain.

Dengan corak permainan begitu, ia menampakan identiti dan cara Solari mengendalikan sesebuah pasukan kerana corak serangan begini telah banyak dilakukan pasukan-pasukan termasuk pelatih-pelatih di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dan jika semua jurulatih tempatan mengamalkan strategi menyerang begini, sudah tentu ia akan memberi kelebihan kepada bola sepak negara, yang mana menepati falsafah yang diwujudkan dalam Peta Halatuju Persatuan Bolasepak Malaysia, F:30, yang dilancarkan pada 31 Oktober 2018.