Sentuhan Dollah Salleh selaku pemangku jurulatih Sri Pahang FC sepanjang Thomas Dooley direhatkan tampak menjadi apabila Tok Gajah rekod kemenangan pertama di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Bagaimanapun, penyerang Ukraine, Yevhen Bokhashvili, mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat.

Biarpun menjaringkan gol pembukaan, ketajaman pengempur berusia 28 tahun itu ketika membenam Sabah FC 2-1 dipertikai kerana kerap mensia-siakan peluang terhidang.

"Dia sebenarnya punya sentuhan sebagai seorang penyerang cuma dia sudah lama tidak bermain.

"(Tahap) kecergasannya (rendah), dia sampai di Kuantan ketika dua minggu (sebelum sepak mula) selepas enam bulan tidak berlatih.

"Itu yang (menyebabkannya) bergelut. Kebelakangan ini baru nampak peningkatannya dalam setiap perlawanan.

"Hari ini (malam tadi) pun baru 50 peratus daripada dia (keupayaan sebenarnya)," kata Dollah sejurus perlawanan.




Di kem Sabah, impak Saddil Ramdani menghadirkan peningkatan positif buat jentera serangan Sang Badak.

Namun, ia belum cukup buat anak buah Kurniawan Dwi Yulianto itu yang terus malang apabila masih belum mencatat sebarang kemenangan selepas empat perlawanan.

"Kami cuba memotivasi pemain bahawa penyesalan tiada guna untuk mengubah keadaan, bagaimana mereka boleh bangkit.

"Lebih-lebih lagi mereka mampu menterjemahkan permainan mereka dalam separuh masa kedua.

"Mudah-mudahan ia menjadi semangat kepada mereka," katanya pula.