Kejayaan peledak utama Johor Darul Ta’zim, Bergson Da Silva, menjaringkan hatrik dan satu jaringan daripada Syahmi Safari dan Nazmi Faiz Mansor dalam pusingan kedua peringkat suku akhir Piala Malaysia ketika bertemu Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim telah mengesahkan Harimau Selatan layak ke peringkat separuh akhir (agg.8-0).

Tanpa perasaan belas kasihan, skuad kendalian Hector Bidoglio itu dari awal permainan lagi telah menggambarkan bahawa kelab dari selatan itu masih dahagakan kejayaan walaupun telah menggekalkan kejuaraan Liga Super sembilan kali berturut-turut.

Ia dibuktikan dengan karektor ditampilkan peledak utama mereka dari Brazil itu yang sentiasa dahagakan kemenangan dan kejayaan. Walaupun telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim ini dengan 29 jaringan yang di cetak, ia tidak pernah melunturkan keinginan peledak berbisa yang memiliki rembatan kaki kanan yang bagaikan kelancaran peluru berpandu mensasar tepat mangsanya.

Tidak pernah menghampakan rakan-rakannya apabila beraksi apatah lagi kepada penyokong-penyokong Merah Biru, Bergson terus mengamuk di Stadium Sultan Ismail semalam.

Daripada karakter Bergson itu juga telah mempengaruhi minda rakan-rakan sepasukan untuk terus mempamerkan kualiti mereka, terutama kepada pemain-pemain tempatan sebagaimana yang dijelmakan Akhyar Rashid dan Nazmi.

Dengan gerak tari lengokan badannya itu yang memperdayakan lawan serta kepantasan larian dan keputusan akal itu juga telah berjaya membunuh langkah lawan. Melalui persembahan karakter itulah yang telah membuatkan Harimau Selatan menang bergaya ke atas The Red Warrior di peringkat suku akhir.

Sudah tentulah dengan kerakusan nafsu Bergson itu pasti akan membingungkan lawan di peringkat separuh akhir nanti memandangkan dari dua perlawanan sahaja, dia telah menjaringkan 4 gol.

Karakter beginilah yang perlu dicontohi pelatih-pelatih tempatan kerana dunia bola sepak Malaysia masih lagi mencari seorang penyerang prolifik sebagaimana yang pernah kita miliki suatu ketika dulu seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan dengan karektor peribadi itulah yang membuatkan penyerang dari Brazil itu berjaya menjulang namanya bersama Harimau Selatan ketika ini.