Penjaga gol Sri Pahang FC, Zarif Irfan Hashimuddin, enggan menjadikan statusnya sebagai penjaga gol nombor dua sebagai halangan bagi mengemudi benteng akhir skuad Tok Gajah ketika bertandang ke Johor Darul Ta'zim (JDT), malam esok.

Bekas penjaga gol Selangor, PKNS FC dan Felda United itu sebaliknya mahu manfaat peluang beraksi untuk membuktikan keberadaannya tetap penting buat pasukan dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Zarif Irfan meraih slot automatik untuk membarisi kesebelasan utama susulan tonggak nombor satu, Izham Tarmizi Roslan, tidak boleh diturunkan bertemu JDT atas status pemain pinjaman.

Dia -- yang melakukan lima penampilan Liga Super 2023 -- dijangka menjadi pemain paling sibuk dalam pertemuan itu dan sudah dipersiapkan lebih awal menerusi minit permainan dalam perlawanan terdahulu.

Ia menyaksikan penjaga gol berusia 28 tahun itu melakukan 'clean sheet' untuk membantu skuad bimbingan Fandi Ahmad itu menewaskan Penang FC 1-0, sekali gus menjadi bekalan motivasi terbaik ketika berdepan Harimau Selatan.

"Kami akan teruskan perancangan yang diterapkan Fandi iaitu serang dan bertahan.




"Apa-apa pun kami perlu positif untuk bertemu JDT.

"Bahagian penjaga gol akan buat analisis kerana seperti kita tahu, ramai pemain handalan di JDT.

"Ini pertama kali akan bermain di Stadium Sultan Ibrahim dan walaupun gementar, kami akan buat yang terbaik," katanya

Selain Zarif Irfan, beberapa pemain yang jarang diberi peluang beraksi sebelum ini dijangka menggalas tugasan penting berikutan Syazwan Andik Ishak dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham terpaksa disisihkan memandangkan kedua-duanya merupakan pemain pinjaman daripada JDT.