Liverpool akan bertemu dua individu yang sebelum ini pernah mencurah bakti buat mereka dalam tempoh 10 hari akan datang.

Sebelum bertemu Steven Gerrard, yang akan membawa Aston Villa ke Anfield pada 11 Disember ini, Liverpool terlebih dahulu akan ke Goodison Park untuk bertemu bekas pengurus mereka, Rafael Benitez, yang pernah menempa nama sebelum kehadiran Jurgen Klopp sepanjang abad ke-21.

Pelantikan Benitez bagi menggantikan Carlo Ancelotti di Everton telah mencetuskan perbalahan pelbagai pihak.

Selepas memulakan kempen di Goodison Park dengan kukuh, masalah kecederaan pemain utama dan taktikalnya yang membingungkan telah meletakkan Benitez dalam keadaan tertekan.

Everton kini merekodkan tujuh perlawanan tanpa sebarang kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) -- rekod terburuk mereka sejak 2016 -- dan mereka juga hanya meraih satu kemenangan daripada 10 perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan.

Ia kelihatan bukanlah satu perkara yang baik buat Benitez untuk bertemu penyokong yang dahulunya mengidolakannya dan mungkin masih akan menyanyikan namanya dalam perlawanan awal pagi esok.



Berdasarkan statistik, Jurgen Klopp telah memenangi tujuh pertemuan 'derby' Merseyside sejak menyertai Liverpool pada 2015 selain merekodkan lima keputusan seri dan hanya satu kekalahan.

Benitez akan menjadi pengurus keenam Everton yang akan dihadapi Klopp dan berdasarkan rekod kedua-dua pengurus itu, Klopp memenangi empat daripada tujuh pertemuan mereka dan hanya kalah sekali, iaitu ketika Borussia Dortmund tewas 1-2 kepada Napoli di peringkat Kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim 2013-14.

Liverpool juga menewaskan Newcastle dalam kesemua tiga pertemuan terakhir sewaktu lawan itu dibimbing Benitez -- dengan agregat keseluruhan 9-2.

Kemenangan dalam pertemuan terbaru itu juga akan menyaksikan Klopp menyamai rekod kemenangan Benitez dalam 'derby' Merseyside, di mana bekas pengurus Liverpool itu memenangi lapan dan tewas tiga daripada 14 pertemuan sewaktu menentang Everton yang ketika itu dibimbing David Moyes.

Justeru, Benitez kelihatan terdesak untuk menjalankan misi sukar untuk menumbangkan bekas pasukannya, Liverpool, yang ketika ini berada di prestasi jauh lebih baik berbanding pasukannya, awal pagi esok.