Bayern Munich dijangka terpaksa beraksi secara tertutup berikutan peningkatan kes jangkitan koronavirus di bandar itu.

Ini selepas dua kes varian baru, Omicron, dikesan di Bavaria hujung minggu lalu.

Setakat semalam, purata kes COVID-19 sepanjang tujuh hari lalu di selatan Jerman berada di sekitar 12,304 kes.

Pegawai kerajaan negara itu akan mengadakan satu mesyuarat esok untuk menentukan penguatkuasaan larangan baru di negara itu bagi membendung penularan virus berkenaan.

Negeri Saxony sudahpun memulakan larangan kehadiran penonton ke stadium dan Bavaria turut dilihat akan mengikut langkah itu menjelang mesyuarat berkenaan.

Bercakap kepada penyiar negeri itu, BR, Perdana Menteri Bavaria, Markus Soder, berkata: "Apabila pasar Krismas ditutup, ia bukan sesuatu yang sesuai untuk penonton memenuhi stadium.

"Ia sesuatu yang tidak masuk akal berdasarkan masa depan yang boleh dijangkakan untuk masih membenarkan penonton (ke stadium).

"Ia adalah satu keperluan penting yang akan kami tentukan hari ini untuk tidak lagi membenarkan kehadiran penonton selepas ini.

"Jika ia tidak dapat dilakukan di peringkat persekutuan, kami akan melakukannya di Bavaria sahaja," katanya.

Pasukan juara bertahan Bundesliga itu tidak akan beraksi di Arena Allianz dalam dua perlawanan selepas ini, di mana mereka akan bertandang ke laman Borussia Dortmund hujung minggu ini dan berlepas ke Barcelona bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah pada 9 Disember ini.

Tiga hari kemudian, mereka akan menantikan kunjungan Mainz sebelum bertemu Wolrfsburg pada 17 Disember ini menjelang waktu rehat pertengahan musim.

Dua lagi kelab Bavaria, Augsburg dan Greuther Furth, turut dijangka akan terkesan dengan ketetapan baru itu.