DYNAMO KIEV 1 BAYERN 2

Lucas Hernandez mengalami kecederaan dalam kemenangan Bayern Munich ke atas Dynamo Kiev awal pagi tadi, sekali gus Julian Nagelsmann menyifatkannya sebagai menambah garam di luka mereka.


Bayern bertandang ke Ukraine untuk perlawanan Liga Juara-Juara kelima peringkat kumpulan musim ini tanpa lima tonggak utama yang terpaksa menjalani kuarantin berikutan mempunyai kontak rapat dengan seseorang yang disahkan positif COVID-19.

Perdebatan vaksin berlaku di dalam kem Bayern dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi pasukan asuhan Nagelsmann itu masih mampu mengekalkan rekod 100 peratus mereka dalam kancah Eropah musim ini -- kali ketiga mereka membuat permulaan sedemikian sejak 2003-04 -- dengan melakar kejayaan 2-1 untuk menjamin kedudukan mereka di puncak Kumpulan E.

Robert Lewandowski memecah kebuntuan dengan sepakan gunting menawan bagi melebarkan rekod jaringannya dalam Liga Juara-Juara (UCL) kepada sembilan perlawanan berturut-turut -– menjadikannya pemain pertama yang menikmati pencapaian sedemikian sebanyak dua kali (pada 2019-20).

Sentuhan pemusnah itu juga merupakan jaringannya yang ke-25 musim ini, lebih sembilan gol daripada pemain lain dalam lima kancah utama Eropah.

Kingsley Coman menokok gol kedua pasukan -– yang ke-19 untuk kelab itu dalam lima perlawanan UCL setakat ini untuk muncul sebagai rekod ketiga terbanyak di peringkat kumpulan –- sebelum Denys Harmash cuba merapatkan jurang dalam separuh masa kedua.





Gerakan Bayern lebih banyak tertumpu di kawasan sendiri untuk sebahagian besar baki 45 minit, lebih-lebih lagi selepas kehilangan Hernandez yang digantikan oleh bek kanan, Bouna Sarr, pada waktu rehat.

“Akhirnya, kami dapat bertahan dengan baik dan ia adalah satu kemenangan penting,” kata Nagelsmann.

"Secara umumnya, ia bukan satu perlawanan yang mudah, apatah lagi dengan mengambil kira keadaan yang kami hadapi. Bukan sahaja keadaan padang malah situasi skuad kami yang sudah pun pincang sebelum perlawanan.

"Ketika rehat, kami terpaksa mengubah apa yang kami lakukan kerana Luci (Hernandez) terpaksa direhatkan kerana kecederaan dan kami tidak mempunyai pertahanan tengah ketiga. Kami mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu dan kami agak terlalu pasif.

"Bagaimanapun, kami mempunyai dua atau tiga peluang baik untuk mengatur serangan balas, tetapi hantaran akhir kami tidak tepat. Gol ketiga sudah pasti akan membunuh permainan ini.

"Gol yang kami bolos agak menjengkelkan. Perjalanan kami masih jauh. Kami harus lebih stabil, khususnya menentang lawan seperti hari ini."