Barcelona mencapai kesepakatan dengan kelab Turki, Kayserispor, untuk menandatangani pemain tengah menyerang, Emre Demir, dengan kontrak lima tahun sehingga 2027.

Pasukan Catalan itu akan membayar yuran pendahuluan sebanyak €2 juta (RM9.82 juta) dan menetapkan klausa pelepasan bernilai €400 juta (RM1.96 bilion) buat pemain berusia 17 tahun itu.

Demir akan kekal bermain dalam Super Lig bersama Kayserispor bagi baki musim 2021-22 sebelum menyertai Barcelona B musim depan.

Dia telah melakukan 31 penampilan di peringkat senior dan pernah mencipta sejarah sebagai pemain paling muda menjaringkan gol dalam Liga Turki pada November 2019 -- melakukannya pada usia 15 tahun, sembilan bulan dan 25 hari.

Pemain muda itu -- yang sebelum ini pernah menjalani ujian pemilihan di akademi Barca, La Masia, pada 2017 -- akan menjadi pemain Turki ketiga ditandatangani pasukan Catalan itu selepas Rustu Recber dan Arda Turan.