Barcelona meminjamkan Marc Cucurella kepada Getafe hanya dua hari selepas menandatangani semula pemain itu daripada Eibar.

Pertahanan sayap itu mencuri tumpuan ketika tempoh pinjamannya di Eibar musim lalu dengan membantu mengikat Barca 2-2 dalam LaLiga, Mei lalu.

Eibar sedia membayar klausa pemilikan bernilai €2 juta (RM9.26 juta) untuk mendapatkan pemain itu, namun Barca sanggup membayar €4 juta (RM18.5 juta) sebagai klausa pembelian semula yang berkuat kuasa Selasa lalu.

Cucurella, yang boleh beraksi sebagai pertahanan dan pemain sayap, pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Sevilla, Real Betis dan pasukan Bundesliga, Eintracht Frankfurt dan Borussia Monchengladbach.

Namun, pemain itu akan mewakili Getafe bagi musim 2019-20 selepas mempersetujui perjanjian sementara dengan pilihan untuk menjadikan ia sebagai perpindahan tetap.

Dia melakukan 31 penampilan LaLiga buat Eibar sepanjang musim lalu dengan menghasilkan satu gol.