BARCELONA 0 GETAFE 0

Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, memberi amaran kepada anak didiknya agar memastikan tiga mata diraih apabila berdepan pasukan bawahan sekiranya mahu memastikan gelaran LaLiga menjadi milik mereka selepas diikat seri tanpa jaringan oleh Getafe, awal pagi tadi.


Pertemuan di Camp Nou menyaksikan Barca melalui keputusan seri yang kedua berturut-turut, selepas terikat 1-1 dengan Espanyol dalam aksi sebelum ini, membolehkan Atletico Madrid berada di belakang dengan hanya tujuh mata.

Lionel Messi, Luis Suarez serta barisan bintang Barca yang lain gagal menghasilkan sebarang percubaan dalam babak pertama dan Valverde berasakan anak buahnya tidak dapat membiasakan diri dengan saingan yang ditampilkan skuad kendalian Pepe Bordalas itu.

"Masih banyak yang perlu kami perbaiki dalam aksi liga. Kami bakal berdepan banyak lagi pasukan yang akan membuat perjalanan kami menjadi sukar.

"Getafe adalah pasukan yang berada dalam kelompok bawahan dan kami ketandusan idea untuk memecahkan benteng mereka. Tekanan tinggi yang mereka berikan membuatkan kami bermasalah.

"Kami hilang arah untuk mencuba setiap cara bagi menjaringkan gol," kata Valverde.

Dalam masa sama, Valverde gembira melihat kombinasi baru dua pemain, Yerry Mina dan Lucas Digne, yang digandingkan di bahagian pertahanan tengah.

"Satu perkara positif apabila menyaksikan Yerry dan Digne beraksi cemerlang di posisi bek tengah," tambahnya.