Bak kata pepatah, hidup ini bagaikan putaran roda -- kadangkala di atas, kadangkala di bawah. Harus tiada ungkapan lain yang lebih sesuai untuk menggambarkan nasib Tottenham Hotspur ketika ini.

Hanya tiga hari selepas kejayaan besar menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City, Spurs kecundang di tangan pasukan di tangga ke-18, Burnley, 1-0. Kekalahan awal pagi tadi itu adalah yang keempat Spurs dalam lima perlawanan.

Senario sebegini semestinya menggoyahkan semangat sesiapa pun, termasuk pengurus yang mengecapi pelbagai kejayaan membanggakan, Antonio Conte.

"Saya tidak biasa dengan situasi sebegini. Saya mencuba segala-galanya tetapi keadaan masih tidak berubah.

"Saya bekerja keras dan melaburkan sehingga 20 jam sehari demi Tottenham. Masa tidur saya hanyalah empat jam, tetapi ternyata ia masih tidak mencukupi.

"Bagi saya, persembahan dan komitmen pasukan cukup baik tetapi kami masih tewas. Rentetan kekalahan sebegini hanya boleh dikatakan adalah satu bencana buat Tottenham.

"Pihak kelab, penyokong serta saya sendiri tidak berhak untuk menderita sebegini tetapi inilah hakikat yang harus dihadapi," ujar Conte dalam temu bual pasca perlawanan bersama BBC Sports.



Conte kemudian mengakhiri temu bual itu dengan satu ayat yang menimbulkan pelbagai spekulasi: "Saya datang untuk memperbaiki keadaan Tottenham tetapi mungkin saya tidak cukup bagus. Saya tidak mampu untuk memejamkan mata sahaja dan membiarkan keadaan berterusan sebegini."

Conte memulakan tugas sebagai pengurus Spurs pada bulan November tahun lalu, hanya beberapa bulan selepas memimpin Inter Milan menjulang kejuaraan Serie A buat pertama kali dalam 11 tahun.

Dia turut menjulang piala juara Liga Perdana Inggeris sewaktu musim pertamanya bersama Chelsea pada 2017.

Hanya sebulan selepas Conte memulakan tugas, pada bulan Disember 2021, Spurs tewas 2-0 di tangan Chelsea dan pengurus itu dipetik sebagai berkata bahawa ikhtiar mengubah nasib Spurs bakal menjadi cabaran terbesar sepanjang kerjayanya.

Ramai mengetahui bahawa Conte memutuskan untuk meninggalkan Inter Milan gara-gara tidak berpuas hati dengan keengganan kelab itu membeli pemain yang diinginkannya dan menjual pemain yang dianggapnya kunci penting buat kejayaan berterusan.

Sewaktu jendela perpindahan baru-baru ini, Spurs memperoleh dua pemain baru, Dejan Kulusevski dan Rodrigo Bentancur, namun mereka dilabelkan sebagai pemain yang 'belum cukup ranum' oleh Conte sendiri.

Dia turut meluahkan pendapat bahawa Spurs sebenarnya menjadi semakin lemah setelah jendela perpindahan selesai, bukannya diperkuatkan, gara-gara hakikat yang mereka kehilangan empat pemain secara keseluruhan.

Laporan media massa ketika ini rata-rata berspekulasi bahawa kata-kata Conte itu merupakan petanda bahawa dia berniat untuk angkat kaki. Namun jika dilihat pada rekodnya, bermula dari waktu mengendalikan Juventus pada 2011, Conte tidak pernah meletakkan jawatan dalam tempoh kurang dari dua tahun.

Sememangnya cabaran yang dihadapinya ketika ini cukup getir.



Secara keseluruhan, kualiti pemain yang dimiliki Tottenham tidak setanding dengan Juventus, Chelsea, Inter Milan dan pasukan kebangsaan Itali yang kesemuanya pernah menikmati sentuhan magis pengurus itu.

Namun, sebesar mana pun halangannya, mustahil Conte akan menyerah kalah dan berundur tanpa berjuang bermati-matian.

Jika benar Conte meletakkan jawatan, pemergiannya bermaksud Spurs harus mencari pengurus buat kali ketiga dalam musim ini.

Dengan segala kepayahan yang kelab itu lalui sebelum ini gara-gara prestasi bekas pengurus, Nuno Espirito Santo, yang teramat tidak memuaskan, berserta dengan hakikat bahawa mereka mengambil masa yang cukup lama demi memperoleh Conte, mustahil dia akan dibiarkan untuk pergi begitu sahaja.

Apa yang boleh kita jangkakan adalah Spurs kembali dengan semangat baru dan terus menunjukkan kualiti yang mampu menundukkan pasukan yang bertakhta di persada sekalipun.